[PORTAL-ISLAM.ID] Lima tahun yang lalu (2019), seorang gadis Saudi yang solehah, Mahā al-Ḥarbī meninggal dunia dalam usia yang sangat muda, iaitu 23 tahun. Kepergiannya itu sangat dirasakan, ditangisi ramai, dan viral di Twitter. Ramai orang tertanya-tanya, siapakah Mahā al-Ḥarbī yang sangat disayangi termasuk oleh mereka yang tidak pernah mengenalinya itu?
Daripada cerita rakannya, “Mahā al-Ḥarbī, gadis yang berasal daripada keluarga yang mencintai ilmu dan al-Quran. Hidupnya di antara kitab, dari satu masjid ke satu masjid, dan daripada satu kuliah ke satu kuliah, sehingga kesungguhan dan kecemerlanganya menjadi makruf dalam kalangan rakan-rakannya.”
Ceritanya lagi, “Dia membesar dalam keadaan menghafal al-Quran dan menekuninya. Dia suka berkhidmat dengan kitabullah, dan perjalanannya mengajar bermula dari jauh. Beliau menyelia halaqahnya berseorangan. Allah memberi anugerah kepadanya sehingga halaqahnya bertambah dengan banyak.”
Seterusnya, “Kemudian, dia cemerlang dalam menghafal hadis. Dia menghafal Ṣaḥīḥ al-Bukhārī dan Muslim, Bulūgh al-Marām, Arba‘īn Nawawiyyah, al-Lu’lu’ wa-al-Marjān, dan banyak matan, mu‘allaqah, alfiyyah, dan kitab-kitab lain. Dia diberi ijazah banyak matan, banyak mentelaah dan membaca kitab-kitab tafsir dan semua yang berkenaan al-Quran al-Karīm.”
“Dia pergi mendamaikan antara manusia. Dia tidak tahu ada perbalahan antara dua orang rakan, saudara-mara, atau orang lain yang dia kenal kecuali dia cepat-cepat mendamaikannya. Biarpun masih muda, dia mengatakan ‘inilah jejak langkah ayahku dan daripadanya aku mempelajari amalan yang besar ini’.”
“Dia juga berusaha memenuhi keperluan orang-orang yang susah dan memerlukan. Banyak kali saya menemaninya. Beliau tidak mahu dicam supaya tidak dikenali, tidak memberitahu nama, dan terus memakai niqab. Apabila kami keluar, saya bertanya ‘kenapa awak tidak mengangkat niqab?’ Jawabnya, ‘supaya mereka tidak ingat rupa saya dan tidak mengenali saya sampai bila-bila, kerana saya datang kepada mereka hanya kerana Allah, bukan kerana sebab lain.’”
“Jiwanya halus, sangat pemalu, dan lembut. Dia tidak pandai membantah. Dia amat lemah lembut dengan orang-orang tua dan sangat mengasihani mereka dan semua orang, demi Allah. Dia tidak bercakap banyak, kerap diam dan berfikir. Saya tidak pernah sehari pun melihatnya marah walaupun banyak hal yang sedang berlaku melainkan tidak lebih daripada mengatakan ‘Allah al-musta‘ān. Semoga Allah mengampuni kalian’.”
“Akhir-akhir ini, beliau mula kerap diam. Kata kakaknya, dia mula tidak tidur seperti sebelumnya, di mana ibunya bangun malam, dan nampak dia sedang jaga dan mendengar suaranya membaca al-Quran, dan sekali suaranya ketika bersolat. Sebelumnya dia bangun setengah malam atau kadang-kadang kurang sedikit, akan tetapi belakangannya dia bangun sepanjang malam.”
“Kata ibunya, aku perasan dia menambahkan rutin membaca al-Quran. Setiap dua hari saya mendengar ia mengulangi surah yang sama. Ini bermakna dia sudah khatam dan memulakan bacaan baharu.”
Sebelum meninggal dunia, dia sempat menulis di Twitter:
“Sudah lama menghilang, dan barangkali saya tidak akan menemui kalian selepas hari ini. Oleh itu, saya berpesan kepada kalian dan kepada diri saya sendiri, jangan berubah atau bertukar kerana umur ini pendek walaupun tahun-tahunnya panjang.”
“Serahkan diri kepada Allah, berusaha keraslah menuntut ilmu, bersungguh-sungguhlah melakukan ibadat. Jangan cenderung kepada dunia yang fana atau kepada ahli syahwat, dan janganlah kamu condong di sisi orang yang sesat lalu jatuh lembah kecelakaan."
"Ketahuilah bahawa kalian akan menemui Allah dan Dia akan bertanya apakah yang kalian lakukan di dunia yang dia serahkan kepada kamu untuk beribadat kepada-Nya.”
“Dunia ini akan berubah dan bertukar-tukar keadaannya, kalian akan melihat dunia betul-betul terbalik di hadapan kalian, dan kalian akan berasa terasing."
(Barangkali kalian faham apa yang disampaikan oleh beliau, lima tahun yang lalu ini selepas melihat perubahan yang berlaku di Saudi sekarang).
"Oleh itu, tetaplah dan berpegang teguhlah dengan tali Islam dan jangan merasa lemah, kerana selagi kamu tetap setia kepada Allah dan bersama Allah, Dia subḥāna-hu akan menjaga kalian.”
Akhir sekali, katanya, “Saya meninggalkan kalian kepada Allah yang barang jagaan-Nya tidak akan hilang.”
Semoga Allah menuntun kita mengikut jejaknya.
(Muhammad Izzat Al-Kutawi)